SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 145,000 syarikat masih tidak berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membuat potongan gaji bagi pembayaran zakat.
Ketua Jabatan Perundingan Zakat, Divisyen Kutipan LZS, Mohd Hairulazlan Ramlan berkata, hanya 5,200 majikan yang telah berdaftar dengan LZS untuk membuat potongan gaji kakitangan.
Menurutnya, data yang dikongsikan oleh rakan sinergi, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor menunjukkan perjalanan yang masih terlalu jauh untuk mencapai hasrat perbadanan tersebut.
"Ikutkan data yang kami ada dengan kerjasama bersama PERKESO, di Selangor ada 150,000 syarikat, jadi sebenarnya masih jauh lagi syarikat yang masih belum daftar dengan kami untuk potongan gaji.
"Jadi, dengan adanya bengkel ini sedikit sebanyak ia membantu peningkatan pendaftaran potongan gaji untuk membayar zakat dalam kalangan kakitangan,” katanya selepas Bengkel Khas Majikan:Peranan Majikan Berkaitan Zakat dan Cukai di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Hadir sama Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.
Program yang dianjurkan LZS itu dihadiri seramai 90 majikan daripada sekitar Lembah Klang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pembayaran zakat melalui potongan gaji kakitangan.
Bengkel berkenaan menjalankan tiga sesi dengan membawakan pihak LZS dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk menyampaikan taklimat yang berkaitan.
Tambah Mohd Hairulazlan, program yang dijalankan sejak 2020 itu banyak meningkatkan pendaftaran daripada majikan walaupun ia hanya berskala kecil.
Ujarnya, pihak LZS mengharapkan individu yang pernah menyertai bengkel tersebut mempromosikan kepada kumpulan majikan lain supaya lebih ramai mengetahui tanggungjawab masing-masing.
"Bayar zakat ini wajib, tetapi masih ada ramai orang yang tidak bayar. Ikutkan di Selangor ini ada 1.47 juta orang Islam, namun kutipan kita hanya ada 400,000 orang.
"Dalam setahun akan ada lima atau enam sesi bengkel yang dijalankan di sekitar Selangor dan setiap program boleh disertai hampir 100 majikan,” jelasnya.
Pada masa sama, Mohd Hairulazlan turut menasihatkan orang ramai untuk melakukan potongan gaji bagi menjalankan kewajiban sebagai umat Islam yang amanah dengan tanggungjawab masing-masing.