KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri antara tiga individu warga tempatan yang ditahan kerana disyaki memproses dan mengedar dadah kokain bernilai RM9 juta untuk pasaran luar negara di Cheras di sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi itu hasil kerjasama JSJN dan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat.
"Dalam serbuan pertama, kita menahan pasangan suami isteri berusia 41 tahun di sebuah kondominium pada jam 10 malam.
"Lelaki itu berperanan sebagai 'runner' manakala isterinya berperanan sebagai penjaga stor dan 'chemist'," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.
Kok Chin berkata, pihaknya turut merampas 44.931 kilogram dadah jenis kokain dan 52.5 liter cecair kimia dalam rumah tersebut.
"Kondominium itu disewa atas nama wanita berkenaan dengan kadar sewaan sebanyak RM 2,350 sebulan sejak Februari lalu," katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat, JSJN memberkas seorang lagi lelaki berusia 38 tahun dalam serbuan di pangsapuri, pada hari sama.
"Lelaki itu berperanan sebagai 'runner', kita turut merampas satu kilogram serbuk kimia dalam serbuan tersebut," katanya.
Kok Chin berkata, modus operandi sindiket yang aktif sejak Januari lalu itu adalah menjadikan apartment sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah jenis kokain sebelum diedarkan untuk pasaran luar negara dengan menggunakan pengangkutan udara.
"Tindakan juga diambil di̇ bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, kita menyita pelbagai aset termasuk barang kemas sindiket yang dianggarkan bernilai RM 201,086.92
"Kita turut menyita tiga kenderaan iaitu Toyota Cross, Perodua Myvi dan Honda City," katanya.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati hanya suspek ketiga mempunyai lapan rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.
"Saringan awal urin juga mendapati lelaki itu positif dadah jenis ketamin," katanya.
Menurutnya, pasangan suami isteri itu direman tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa, manakala seorang lagi suspek direman empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.