IPOH - [DIKEMAS KINI] Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan perairan negara dengan tertangkapnya dua warga Indonesia di kawasan jeti nelayan Sungai Tiang, Rungkup dekat Bagan Datuk pada Isnin lalu.
Semasa serbuan Unit Risik Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang sekitar jam 10 malam itu, lelaki berusia 42 dan 46 tahun terbabit baharu tiba di jeti berkenaan dengan menaiki bot.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas bot kemudiannya menemui 10 peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 10.61 kilogram dianggarkan bernilai RM340,000.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk melalui perairan negara bagi tujuan pasaran luar.
"Risikan dilakukan mendapati sindiket ini telah aktif sejak tujuh bulan lalu dengan menjadikan jeti nelayan di Sungai Tiang sebagai transit sebelum bekalan dadah dibawa ke satu lokasi lain.
"Aktiviti ini dilakukan secara terancang kerana semakan dilakukan, dua warga Indonesia terbabit masuk melalui pintu yang sah dan berada di negara ini sejak lebih seminggu lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing dilakukan mengesahkan seorang daripada suspek positif dadah, bagaimanapun kedua-duanya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Katanya, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan terutama polis.
"Kita mengharapkan orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah ini agar tindakan pembanterasan dapat dipertingkat," katanya.
Dalam pada itu, Azizi berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah membuat tangkapan ke atas 11,562 individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Semua tangkapan ini membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah sintetik dan tradisional termasuk ganja bernilai lebih RM5.2 juta," katanya.