PRK Nenggiri: Mohd Azmawi diumum calon BN

Iklan
Mohd Azmawi

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semasa sidang akhbar di Bangunan UMNO Kelantan pada Khamis.

Iklan
Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohd Azmawi hampir pasti dinamakan sebagai calon BN pada PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini.

Menurut sumber, pemilihan beliau sudah mendapat restu UMNO Bahagian Gua Musang.

Iklan

Pemilihan Mohd Azmawi tepat kerana beliau sudah dikenali dalam kalangan penduduk setempat.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Iklan

Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Mohd Azmawi terkejut jadi calon BN

Sementara itu, Mohd Azmawi terkejut apabila namanya diumumkan sebagai calon.

Beliau berkata, perkara tersebut hanya diketahui semasa berada pada sidang akhbar PRK DUN Nenggiri yang diadakan di Pejabat UMNO Kelantan pada petang Khamis.

"Agak terkejut sebab secara ikhlasnya saya tidak menjangkakan PRK berlangsung secepat ini.

"Saya mengambil cabaran ini, insya-ALLAH dengan kerjasama serta kekuatan semua jentera parti, kita akan tawan kembali DUN Nenggiri," katanya.

Menurut Mohd Azmawi, beliau mesti berpijak di bumi yang nyata dan turun ke gelanggang PRK dengan kekalahan 810 undi sebelum ini.

Ujarnya, beliau perlu bekerja kuat bersama dengan barisan jentera BN dan ia bukan mudah tapi akan diusahakan.