Pelajar peroleh 12A selepas ikuti Program Tuisyen Rakyat RISDA@KKDW

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama pelajar cemerlang dan tetamu yang hadir pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA Tahun 2023 di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar berjaya memperoleh 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 selepas mengikuti pelbagai kelas tambahan yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah inisiatif KKDW.

Pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Nilai, Negeri Sembilan, Ahmad Adam Qayyum Ismail, 18, berkata, program tuisyen yang disediakan tersebut banyak membantu dia dan rakan-rakan dalam mengulang kaji mata pelajaran yang sukar difahami.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya saya rasa program ini sangat berkesan terutama kepada saya dan rakan-rakan kerana ia memfokuskan kepada sekolah kecil dan pelajar di luar bandar.

"Kita dapat lebih mengetahui apa yang kena fokus dan cara nak menjawab peperiksaan, jadi program ini bukan sahaja berkesan kepada saya, malah rakan-rakan lain yang mencapai kejayaan sangat bagus,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

AHMAD ADAM


Ahmad Adam Qayyum turut memaklumkan bahawa program berkenaan menyediakan banyak kemudahan seperti nota ringkas dan padat yang mampu membantu pelajar memahami topik tersebut dengan jelas.

RENORICO

Iklan

Bagi Renorico Mazeri, 18, yang merupakan anak pekebun kecil masyarakat orang asli Pahang pula memaklumkan bahawa guru-guru yang mengajar sangat berpengalaman dan bagus dalam menerangkan beberapa topik yang tidak difahami oleh pelajar.

Katanya, cikgu mendekati atau mengambil hati pelajar dengan menggunakan kaedah yang mudah untuk mengajar di dalam kelas.

Iklan

"Mereka mengajar satu per satu setiap topik itu, jadi bagi saya ia sangat berkesan untuk memahami bahagian yang sukar seperti pengiraan dalam Matematik.

"Kalau dulu, saya tak mahir mata pelajaran itu, jadi cikgu saya ajar saya secara perseorangan sehingga saya benarbenar memahaminya,” tambahnya yang berjaya mendapat 9A dalam SPM 2023.

JOYLENNE LUA

Selain itu, Joylenne Lua Balang, 18, anak pekebun kecil dari Lawas, Sarawak yang memperoleh 8A mencadangkan untuk menambahkan waktu pembelajaran semasa kelas tambahan berkenaan kerana baginya dua jam sahaja tidak mencukupi.

"Sesi tuisyen ini berlangsung selama dua jam. Saya berharap tempoh itu dipanjangkan lagi supaya pelajar lain juga dapat memahami mata pelajaran atau topik yang sukar,” katanya.

Mereka berkata demikian selepas menerima anugerah semasa Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA Tahun 2023, di Hotel Berjaya Times Square, di sini pada Rabu.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang baharu, Datuk Mohd Khair Razman Mohamed.

AHMAD ZAHID

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri KKDW menggesa RISDA untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, kelas tambahan itu disediakan bagi membantu pelajar luar bandar terutama anak pekebun kecil untuk menghadapi peperiksaan SPM.

"Saya sudah minta Setiausaha Akhbar Menteri untuk duduk dengan RISDA dan melakukan ‘game changer’. Jangan bertindak secara silo (bersendirian).

"Tidak mustahil, sesuatu yang baharu boleh dilakukan. Jangan gunakan pendekatan cara lama, kita kena berubah,” ujarnya.

Iltizam dan motivasi

Dalam ucapan sama, beliau turut mencadangkan RISDA membawa pelajar lepasan SPM ke kampus atau kolej universiti awam bagi memberi pendedahan awal kepada mereka.

Ujarnya, inisiatif tersebut sedikit sebanyak memberikan iltizam atau motivasi kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

"Saya akan meneroka beberapa universiti awam untuk memberikan peluang kepada pelajar duduk di kampus sepanjang cuti semester.

"Saya mahu pelajar ini dibawa masuk ke sana, ia bertujuan untuk memberikan motivasi kepada mereka. Ibu bapa pelajar pula akan dibawa pada hari terakhir supaya mereka turut terpanggil untuk merasai kehidupan di kampus,” jelasnya.

MANNDZRI

Sementara itu, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, program tuisyen berkenaan memfokuskan kepada lima mata pelajaran utama iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah yang khusus untuk pelajar menduduki SPM. Menurutnya, ia menunjukkan impak positif dengan peningkatan prestasi akademik dalam peperiksaan itu tahun lalu.

"Seramai dua pelajar memperoleh 12A; 19 pelajar 11A; 17 pelajar (10A); 59 pelajar (9A); 87 pelajar (8A); 105 pelajar (7A); 154 pelajar (6A) dan 197 pelajar (5A).

"Inisiatif ini tidak hanya memberikan peluang pendidikan tetapi membuktikan komitmen kerajaan dalam mengurangkan beban kewangan terhadap ibu bapa, khususnya golongan pekebun kecil getah,” tambahnya.