SHAH ALAM - Prestasi ringgit dan pasaran tempatan merekodkan prestasi kedua terbaik di Asia dan dijangka mengukuh menjelang akhir tahun ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, prestasi Bursa Malaysia turut mencatatkan rekod positif dan tidak seburuk seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
"Ringgit turun, saham turun, pelabur lari. Faktanya tidak begitu. Hari ini (semalam) ringgit mengukuh kepada 4.6652 berbanding 4.7931 pada 18 April lalu.
"Indeks Komposit iaitu indeks saham syarikat terbesar terus naik sejak setahun lalu kepada 1,633 mata, iaitu peningkatan 21.09 peratus dalam setahun.
"Indeks Emas iaitu indeks saham syarikat modal pertengahan terus naik dan kini mencapai paras tertinggi dalam tempoh lima tahun. Indeks Emas mencecah 12,678 mata iaitu peningkatan 26.32 peratus dalam setahun," katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjelaskan dakwaan daripada portal berita yang mengeluarkan kenyataan mengenai prestasi buruk ekonomi negara di bawah pimpinan Kerajaan Madani.
Sebelum ini, portal berita itu melaporkan Datuk Rosol Wahid (PN Hulu Terengganu) mendakwa Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Senator Fuziah Salleh seolah-olah tidak menyedari bahawa situasi kenaikan harga barang sekarang berada dalam situasi buruk.
Tambah Rafizi, kerajaan tidak boleh menyakinkan pembangkang dengan fakta.
"Kita tidak boleh menyakinkan pembangkang dengan data dan fakta. Tapi kita boleh sebarkan fakta ini untuk menyelamatkan rakyat," katanya.