Aliran masuk asing, potensi AS turun kadar faedah pacu lonjakan ringgit

Iklan
Aliran masuk asing bersih yang berterusan dalam pasaran ekuiti Malaysia selain potensi pihak Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah, menjadi antara pendorong lonjakan ringgit hari ini sehingga mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh enam bulan. Gambar hiasan

ALIRAN masuk asing bersih yang berterusan dalam pasaran ekuiti Malaysia selain potensi pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah, menjadi antara pendorong lonjakan ringgit hari ini sehingga mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh enam bulan, kata penganalisis.

Ringgit diniagakan pada paras 4.6590 berbanding dolar AS pada 8.44 pagi ini yang juga paras tertinggi sejak catatan pada 6 petang, 12 Januari 2024, apabila mencecah 4.6455, dipacu oleh peningkatan sentimen optimis dalam kalangan pelabur asing terhadap pasaran ekuiti tempatan.

Iklan
Iklan

Pelabur asing juga kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia bagi minggu kedua berturut-turut dengan belian bersih berjumlah RM478.2 juta, minggu lepas.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tindakan beberapa agensi asing yang diiktiraf di peringkat global menaikkan penarafan terhadap Malaysia, juga terbukti memberi suntikan positif ke atas mata wang tempatan itu.

Iklan

Selain itu, JP Morgan pula menaikkan penarafannya terhadap Malaysia kepada ‘neutral’ daripada ‘underweight’ atau di bawah wajaran selepas hampir enam tahun, didorong oleh dasar pembaharuan negara ini, pelaburan pussat data serta pembangunan prasarana.

Mengulas selanjutnya, Mohd Afzanizam berkata komitmen kerajaan terhadap usaha mengurangkan defisiti belanjawan, turut mendapat momentum menerusi langkah penyasaran subsidi diesel baru-baru serta pelaksanaan sistem e-Invois yang meningkatkan aspek ketelusan dan pematuhan cukai.

Iklan

Malah, sentimen optimis terhadap jangkaan penurunan kadar faedah AS terus memacu prestasi mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit, katanya.

Laporan media menyatakan Gabenor Fed Christopher Waller telah membayangkan bahawa tempoh bagi penurunan kadar faedah di AS kini semakin hampir.

Kadar Dana Persekutuan (FFR) pada masa ini di paras 5.25 peratus daripada 5.5 peratus manakala Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia di paras 3.0 peratus.

"Faktor itu menjadi penggerak utama bagi mata wang pasaran sedang pesat membangun kerana sebarang pengurangan FFR akan mengecilkan lagi jurang kadar faedah antara AS dengan rantau lain, termasuk Malaysia,” katanya. - Bernama