KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan tidak membuat spekulasi berhubung hukuman denda RM100 yang dikenakan terhadap seorang wanita dikaitkan dalam kes buli siber pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha pada Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pertuduhan itu dibuat berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh sewaktu siasatan dilakukan.
"Denda dikenakan sebanyak RM100 merupakan hukuman maksimum bagi peruntukkan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
"Seorang wanita telah dituduh di bawah akta tersebut dan penama yang dituduh mengaku bersalah telah dijatuhkan hukuman RM100," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Rusdi berkata, bukti paling kuat yang polis ada membolehkan pertuduhan itu dibuat mengikut akta berkenaan.
"Polis sentiasa bersedia untuk menyiasat jika menerima laporan dan petunjuk baharu.
"Sama ada wujud bukti atau tidak, kita akan rujuk untuk pertuduhan. Mereka yang terlibat akan dipanggil bergantung kepada kesesuaian masa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.
Majistret Arunjothy M Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.