PASIR GUDANG - Dua maut selepas terbabit dalam kemalangan dua buah kenderaan di Jalan Masai Kong-kong di sini pada pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan pada jam 6.45 pagi itu melibatkan sebuah motosikal serta van sekolah.
Menurutnya, dua individu yang maut berkenaan merupakan penunggang dan pembonceng motosikal yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai rakan.
"Hasil siasatan awal mendapati, van berkenaan dipandu seorang wanita tempatan berusia 47 tahun dari arah Kong-kong ke Masai.
"Semasa kejadian, sebuah motosikal masuk ke laluan van berkenaan dan berlaku pelanggaran.
"Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng masing-masing berumur 26 tahun dan 30 tahun mengalami kecederaan parah di kepala. Kedua-dua mangsa lelaki dan perempuan itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Mohd Sohaimi, waris kedua-dua mangsa penunggang dan pembonceng motosikal telah membuat pengesahan terhadap mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seskyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.