KOTA BHARU - Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memaklumkan jentera dari seluruh negara kecuali Sabah akan mula berkampung pada 21 Julai ini bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Menurut beliau, mereka akan turun padang membantu jentera di sini bagi memastikan Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi DUN tersebut pada 17 Ogos ini.
"Semalam (Rabu) kita adakan mesyuarat di peringkat ibu pejabat parti dan semua UMNO negeri akan turun padang kecuali Sabah kerana jauh.
"Mereka akan turun berkenalan dengan kepimpinan di akar umbi seterusnya berkampung di Nenggiri dan sekitar untuk bantu calon kita," katanya semasa sidang akhbar PRK Nenggiri di Pejabat UMNO Kelantan di sini pada Khamis.
Menurut Ahmad Jazlan, pada 29 Julai juga akan diadakan pelancaran jentera pilihan raya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pemilihan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon BN pada PRK Nenggiri 17 Ogos ini adalah bertepatan kerana ia merupakan orang muda yang akan mewarisi parti pada masa hadapan.
"Sukalah saya juga menyatakan bahawa UMNO sentiasa menghormati memberi kepercayaan serta menaruh harapan tinggi kepada orang muda untuk menjadi pelapis kepada perjuangan parti.
"Saya dan keseluruhan kepimpinan parti akan bersama Mohd Azmawi berazam bekerja kuat untuk mendapatkan sokongan pengundi pada PRK nanti," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.