KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi badan penguatkuasa, khususnya pihak polis bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan perincian berkaitan isu tersebut termasuk dari segi lokasi dan operasi yang pernah dibuat, sebelum beliau kongsikan tindakan selanjutnya yang perlu diambil.
"Saya fikir begini, sebagai agensi penguatkuasa terbesar tentunya pandangan perdana menteri itu harus disambut oleh pasukan polis. Bukan sahaja polis tetapi juga agensi-agensi penguatkuasa yang lain.
"Jadi saya akan segera mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi, pasukan polis khususnya untuk mengumpul seberapa banyak maklumat tentang gejala ini kemudian saya akan meminta supaya mereka menyampaikan dahulu kepada saya taklimat terperinci tentang lokasi, operasi yang dibuat dan sebagainya.
"Jadi daripada situ, barulah nanti saya akan berkongsi apakah langkah dan tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di sebuah flat pangsapuri di Sentul.
Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau percaya wujudnya elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu kota negara ini yang masih berlanjutan sehingga hari ini.
Anwar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diyakini sedang dalam usaha untuk masuk campur isu berkenaan termasuk membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).