KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Hameed Dawood menawarkan diri mengambil cuti untuk memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, semasa ketiadaannya, organisasi itu akan tetap menjalankan semua proses seperti biasa dan operasi akan terus berjalan lancar demi memastikan tiada sebarang gangguan kepada perkhidmatan.
"Namun begitu, saya tetap berpegang teguh dengan komitmen saya kepada HRD Corp. Terima kasih atas sokongan anda semua selama ini,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 sebelum ini dilaporkan berkata, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dilakukan.
Wan Suraya berkata, terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
Beliau berkata justeru itu, Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Shahul Hameed supaya membuat laporan kepada SPRM. - Bernama