Malakat Mall ditutup 31 Julai

Iklan
Malakat Mall, Cyberjaya akan menutup operasi premisnya pada 31 Julai tahun ini. (Gambar kecil: Mohd Fadzil)

SHAH ALAM - Pusat beli-belah, Malakat Mall, Cyberjaya akan menutup operasi premisnya pada 31 Julai tahun ini.

Pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, keputusan penutupan pusat beli-belah selepas empat tahun beroperasi itu bagi meneroka model perniagaan baharu.

Iklan
Iklan

"Imej pasar mesra Muslim dan mesra usahawan adalah imej Malakat Mall yang tidak akan berhenti di sini dan mesti diteruskan dalam apa jua bentuk yang bersesuaian.

"Kami akan bina kekuatan asas kumpulan kami dengan memberi fokus kepada sistem dalam talian.

Iklan

"Semoga usaha ini akan mencapai kejayaan pada masa hadapan. Kami mohon doa dan sokongan yang berterusan agar perjuangan ini mencapai kejayaan di masa depan,” katanya dalam siaran di Facebook pada Khamis.

Menurutnya, operasi syarikat diteruskan dalam skala lebih kecil di mana perniagaan makanan dan minuman akan berpindah ke dalam bangunan Casa DeMadani yang akan diubah menjadi Restoran ‘RumahMakan’.

Iklan

"Unit peruncitan pula akan berpindah 100 peratus kepada perniagaan secara dalam talian bagi jualan pelbagai barangan seperti busana, aksesori, alat tulis, buku serta perhiasan di www.malakat.com.

"Manakala, kedai Malakat Grocer akan hanya dikekalkan operasi di Taman Kosas, Ampang,” ujarnya.

Dalam pada itu, ulas Mohd Fadzil, pihaknya juga akan membantu Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) membeli saham ahli-ahli yang ingin menjual semula syer mereka.

"KoPPIM tetap kekal sebagai koperasi strategik yang mana jika digembleng kekuatannya secara betul akan berjaya menjadi pembina ekonomi Ummah,” menurutnya.