[DIKEMAS KINI] TIADA sebarang obligasi untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyalurkan apa-apa bentuk peruntukan kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Selaku menteri yang bertanggungjawab kepada DBKL, Dr Zaliha berkata, walaupun ia menjadi amalan sebelum ini, KLFA dan KL City FC merupakan badan yang berdiri sendiri dan tidak mempunyai ikatan secara formal dengan DBKL selain beroperasi secara bebas.
"Perlu diingatkan bahawa hasil pendapatan DBKL sebahagian besarnya datang daripada cukai yang dibayar oleh rakyat.
"Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab DBKL untuk memastikan wang cukai rakyat ini digunakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran semua warga kota,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang juga bekas Presiden KLFA memohon agar 0.5 peratus daripada jumlah pendapatan DBKL disalurkan kepada KLFA dan KL City FC.
Dr Zaliha berkata, DBKL sentiasa bersedia membantu dan menghargai usaha KLFA dan KL City FC dalam memajukan sukan bola sepak di Kuala Lumpur.
"Saya turut berbangga dengan pencapaian yang ditonjolkan selama ini serta melihat potensi besar dan masa depan yang cemerlang bagi pasukan KL City FC,” katanya. - Bernama