SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (KLN) menggesa semua rakyat Malaysia yang menetap di Bangladesh untuk mengelak dari berada di kawasan yang terjejas susulan protes pelajar terhadap sistem kuota dalam pekerjaan sektor kerajaan baru-baru ini.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan juga diminta supaya kekal berwaspada dan mematuhi semua nasihat keselamatan serta arahan pihak berkuasa tempatan.
"Buat masa ini, Suruhanjaya Tinggi sedang mengkaji penyelesaian termasuk membantu mengaturkan perjalanan pulang pelajar-pelajar yang ingin kembali ke Malaysia dan tempat perlindungan sementara.
Sebelum ini, media melaporkan beribu-ribu pelajar Bangladesh berdemonstrasi sejak Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan kerajaan yang dimansuhkan pada 2018
Susulan itu, negara berkenaan mengumumkan penutupan semua universiti awam dan swasta mulai semalam susulan berkenaan semakin memuncak minggu ini.
Dalam pada itu, ujar Wisma Putra, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut turut dinasihatkan supaya menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh.
Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia secara aktif berkoordinasi dengan pihak berkuasa Bangladesh untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara tersebut, meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk gangguan perkhidmatan telekomunikasi yang meluas.
"Menyusul permulaan protes, pelajar-pelajar Malaysia di Dhaka telah diarahkan untuk berkumpul di Suruhanjaya Tinggi bagi keselamatan mereka dan untuk menerima arahan lanjut.
"Pelajar-pelajar ini adalah dari institusi pendidikan tempatan di Dhaka yang terjejas oleh protes tersebut.
"Pegawai Suruhanjaya Tinggi telah berinteraksi awal dengan pelajar-pelajar ini untuk menilai keperluan mereka dan memberikan bantuan segera,” ujarnya.