TEMERLOH - Wang kertas RM1 dipercayai berusia lebih 50 tahun antara koleksi istimewa milik bekas pemandu lori yang masih disimpan rapi sehingga kini.
Abdul Rashid Hamid, 58, dari Kampung Padang Tenggala di sini, memiliki pelbagai not mata wang dan syiling merata dunia antaranya Singapura, Brunei, Arab Saudi, United Kingdom, India, China, Filipina dan Indonesia.
Menurutnya, koleksi itu dikumpul lebih 30 tahun lalu dan kini ia menjadi hobi buat dirinya.
"Segalanya bermula ketika saya kerja bawa lori dulu, dapat pelbagai koleksi mata wang serta syiling lama ketika bertugas membuang sampah yang diarahkan pelanggan.
"Dari tak sengaja, kini jadi hobi dan saya cuba simpan duit kertas dan syiling ini sebaik mungkin sampai sekarang," kata bapa kepada empat cahaya mata itu.
Ujarnya, selain duit lama, dia turut memiliki kipas elektrik lama buatan Jepun yang dipercayai berusia lebih 100 tahun.
"Kipas ini juga koleksi kesayangan saya yang saya dapat lebih 30 tahun daripada seorang lelaki warga emas yang sudah berusia lebih 80 tahun ketika itu mendakwa memiliki kipas tersebut sejak kecil lagi.
"Kini kipas terbabit masih berfungsi dengan baik walaupun sudah lama digunakan," tambahnya turut memiliki barangan antik lain seperti radio, dulang dan lembing Cina.
Dalam pada itu, Abdul Rashid memberitahu, dia menyimpan koleksi itu sebagai tontonan dan ilmu buat generasi muda.
"Namun saya tidak menolak jika ada yang berminat membeli koleksi sedia ada jika kena dengan harganya," katanya.