SHAH ALAM - Selepas pemergian P Ramlee Sabah atau nama sebenar Fairuz Misran tahun lalu kini adiknya, Shazmi Misran, 31, meneruskan legasi nyanyian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee di media sosial.
Shazmi atau nama panggilan P Ramlee Muda berkata, beliau menyanyikan lagu Allahyarham P Ramlee sejak berusia 17 tahun tetapi hanya memuat naik video di YouTube sahaja.
"Saya mula sedar mengenai kelebihan ini pun setelah menyertai pertandingan Bintang P Ramlee pada 2012 dan memenangi tempat ketiga ketika itu.
"Bermula daripada situ orang selalu samakan saya dengan Allahyarham P Ramlee zaman muda, manakala arwah abang saya pula sebagai P Ramlee ketika sudah berumur," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, abangnya sempat memberi tunjuk ajar untuk lebih mendalami nyanyian Allahyarham P Ramlee dan berpesan supaya meneruskan legasi tersebut.
Ujarnya, tidak pernah terlintas di fikiran bahawa itu adalah kali terakhir mereka duduk bersama dan menyanyikan lagu P Ramlee.
"Masa itu arwah ada pesan supaya saya teruskan menyanyi, begitu juga dengan kenalan rapat yang berpesan perkara sama.
"Mereka minta saya untuk muat naik video nyanyian di sosial media supaya dapat mengubati kerinduan peminat kepada arwah abang saya dan juga P Ramlee," tambahnya.
Menurut anak bongsu daripada tujuh beradik itu, beliau dan abangnya sentiasa mendapat sokongan serta dorongan yang kuat daripada keluarga, sahabat dan peminat untuk terus berkarya.
Jelasnya, kata-kata daripada arwah bapanya selalu menjadi kekuatan kepada mereka untuk terus menghasilkan video nyanyian lagu P Ramlee.
"Bapa kata ada bakat dan juga kelebihan kenapa perlu disimpan... jadi saya rasa inilah masanya untuk tonjolkan kelebihan semula jadi dan bukan seperti tanggapan negatif orang lain.
"Sebelum ini, ada pihak mengatakan bakat arwah abang itu dibuat-buat saja tapi dengan tindakan saya meneruskan legasi berkenaan sedikit sebanyak dapat membuktikan bahawa ia adalah tidak benar.
"Saya harap saya dapat meneruskan perjuangan abang dan mampu mengubat rindu peminat kepada dia serta Allahyarham P Ramleee," ujarnya.