CELTIC menandatangani penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel dengan kontrak setahun, kata juara Scotland tersebut.
Kapten Denmark, yang selesai tugasan di Kejuaraan Euro Jerman 2024, menyertai Celtic sebagai ejen bebas selepas bersama gergasi liga Belgium, Anderlecht musim lalu.
Pemain berusia 37 tahun itu sebelum ini bermain untuk kelab Ligue 1 Perancis, Nice pada musim 2022/23 selepas berbakti di Leicester City, yang menyaksikan The Foxes keluar pemenang Liga Perdana Inggeris pada 2016 dan Piala FA 2021.
Dia menduduki tempat ketiga dalam senarai penampilan sepanjang masa Leicester selepas 479 perlawanan untuk The Foxes sepanjang 11 musim.
Schmeichel membuat penampilan sulung antarabangsa pada 2013 telah memperoleh 105 caps bersama Denmark.
"Saya benar-benar gembira untuk menyertai Celtic dan tidak sabar untuk kembali bermula.
"Celtic adalah antara kelab bola sepak dunia yang kompetitif, nama besar dan tempat keghairahan dan kejayaan sebenar. Celtic mencerminkan maksud sebenar sukan bola sepak," kata Schmeichel.
Perkembangan terkini itu menyaksikan pemain yang memulakan karier remaja bersama kelab Portugal, Estoril pada 2000/01 bersatu semula dengan Brendan Rodgers, yang menguruskan Leicester dari 2019 hingga 2023 sebelum kembali menggalas cabaran dengan Celtic.
"Sejujurnya, saya sangat berbesar hati apabila dapat membawa Kasper ke Celtic.
"Dia seorang penjaga kualiti sebenar dan seseorang yang mempunyai kebolehan dan personaliti untuk menjadi hebat untuk kami," kata Rodgers.
Schmeichel akan menyertai Celtic di Amerika Syarikat dalam jelajah pramusim sebelum melayan kunjungan Kilmarnock dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Scotland di Stadium Celtic Park pada 4 Ogos.