BATU PAHAT - Bekas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sri Gading, Mazlan Abdullah, menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sri Gading sebagai wadah baharu perjuangan politiknya.
Setiausaha PKR cabang berkenaan, Muhamad Hanis@Hans Dr Azman Atar berkata, penyertaan Mazlan itu turut disertai 37 ahli baharu yang didaftarkan bawah cabang berkenaan dan menubuhkan PKR Ranting Kampung Baru.
"Kita mengalu-alukan dan mengucapkan syabas kepada mantan Setiausaha Bersatu Bahagian Sri Gading, Mazlan Abdullah yang telah memilih PKR sebagai wadah perjuangan yang baharu.
"Penyertaan ini sekali gus melumpuhkan Bersatu Cawangan Kampung Baru dengan membawa sekali penyertaan beramai-ramai anggota Bersatu bahagian terbabit ke dalam PKR," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa PKR cabang berkenaan pada malam Khamis.
Beliau berkata, kemasukan Mazlan dan semua bekas ahli cawangan berkenaan disebabkan sudah hilang kepercayaan terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Muhamad Hanis berkata, menerusi mesyuarat jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan Ketua PKR Cabang Sri Gading, Naquib Roseli, Mazlan dilantik sebagai Naib Ketua Cabang berkenaan.
Ujar beliau, dalam mesyuarat tersebut juga pihaknya merakamkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani atas keberanian melaksanakan program subsidi bersasar.
Katanya, keputusan Anwar yang juga Presiden PKR itu sudah mula menunjukkan kesan dalam usaha membanteras ketirisan dan amalan penyeludupan diesel.
"Usaha kerajaan ini akan memberikan penjimatan kepada kantung kerajaan sebanyak RM4 bilion yang boleh disalurkan untuk program yang memberi manfaat terus kepada rakyat," katanya.
PH sedia rampas Johor pada PRN
Sementara itu, Muhamad Hanis berkata, Pakatan Harapan (PH) yakin merampas Johor dengan menang sekurang-kurangnya 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.
Jelas beliau, jumlah kerusi tersebut sudah membolehkan PH untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Johor daripada UMNO dan BN.
"Keyakinan ini adalah berdasarkan rekod, data dan analisis keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Justeru UMNO Johor diminta muhasabah diri dan jangan mendabik dada dengan kemenangan bergaya pada PRN Johor yang lepas," katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading baru-baru ini dilaporkan berkata, inisiatif untuk merampas semula kerusi Parlimen Sri Gading perlu dilakukan UMNO.
"Hanya perwakilan yang tahu apa berlaku di Sri Gading. Saya tidak mempunyai jawapan tetapi UMNO Bahagian Sri Gading perlu melihat dan memastikan, terutama ahli bersama-sama kita," ujar Onn Hafiz.
Susulan itu Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad menyifatkan kenyataan Onn Hafiz bahawa UMNO perlu merampas semula kerusi Parlimen Sri Gading daripada PH sebagai kurang cermat.
Beliau mendakwa kenyataan Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor itu seolah-olah mempunyai agenda dan bertentangan dengan semangat kerjasama serta keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Muhamad Hanis berkata, PKR cabang berkenaan menghormati semangat setiakawan dalam kalangan parti komponen kerajaan Perpaduan.
Namun beliau mengakui terguris dengan kenyataan semberono Onn Hafiz dan juga beberapa pimpinan UMNO Johor kebelakangan ini termasuk dalam isu lain.
Katanya, PKR cabang itu berpandangan, sebarang usaha parti rakan untuk menggugat kerusi Parlimen dan DUN disandang rakan komponen parti lain dalam kerajaan Perpaduan boleh mencetuskan rasa tidak puas hati.
"Desakan daripada pimpinan UMNO Johor untuk mengkaji semula kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dengan alasan keberadaan DAP dalam kerajaan adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
"Apakah pimpinan UMNO Johor ini hilang akal dan suka melihat kerajaan yang dibina di atas titah Yang di-Pertuan Agong ini runtuh sebelum habis penggal," soalnya.
Beliau menyeru kerajaan negeri mencontohi semangat kerjasama kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dengan memulakan lembaran baharu yang boleh merapatkan hubungan politik dalam kalangan parti komponen PH dan BN di negeri ini.
"Ia boleh dimulakan dengan agihan secara adil dalam urusan pelantikan ahli majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua ketua kampung.
"Namun sekiranya UMNO Johor memilih untuk melebarkan jurang ideologi dan pemikiran, PKR Cabang Sri Gading dengan ini bertegas dan bersedia untuk meletakkan calon di N21 DUN Parit Yaani dan N22 DUN Parit Raja di samping mempertahankan kerusi Parlimen Sri Gading yang kini disandang oleh Parti Amanah Negara," tegasnya.