10 pemain bawa cabaran negara ke Piala Dunia Paintball di Perancis

Iklan
Nurul Salwa (kiri) dan sebahagian pemain pasukan Thunderstorm yang akan membawa cabaran negara pada Piala Dunia Paintball di Perancis hujung bulan depan.

PASUKAN paintball wanita dari Lembah Klang, Thunderstorm akan membawa cabaran Malaysia di Kejohanan Piala Dunia Persekutuan Paintball (UPBF) di Dreux, Perancis hujung bulan depan.

Kapten pasukan, Nurul Salwa Kamarul Zaman berkata, seramai 10 pemain negara berkampung di Dreux dari 28 Ogos hingga 1 September ini dan pemilihan mereka berdasarkan minit permainan paling banyak dalam tempoh setahun yang lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penyertaan mereka pada Piala Dunia bukan sekadar pelengkap jadual sebaliknya mahu mencabar kejuaraan, sekali gus membuktikan pemain paintball wanita Malaysia juga mampu bersaing dengan negara kuasa besar sukan ekstrem itu.

"Kita bukan pilih semberono kerana pemain-pemain yang dibawa ke Dreux nanti mampu bersaing dan pernah memenangi pertandingan peringkat domestik dan Asia.

Iklan

"Gabungan pemain muda dan berpengalaman mampu mengimbangi kekuatan pasukan. Insya-ALLAH, kami akan buat yang terbaik kerana harapan kami mahu bawa pulang sesuatu dari Perancis nanti,” katanya.

Tambah Nurul Salwa, selain bertanding dalam kategori wanita bagi peringkat dunia, pasukannya turut bertanding dalam Divisyen Empat yang turut disertai lebih 20 pasukan dari seluruh Eropah.

Iklan

"Dalam Divisyen Empat, tiada lagi kategori jantina. Semua lelaki dan wanita berlawan. Dalam divisyen ini, nama pasukan nanti adalah Thunderstorm,” katanya.

Kejohanan Piala Dunia UPBF dibahagikan kepada lima kategori iaitu lelaki, wanita, veteran, Bawah 19 tahun (B-19) dan Bawah 16 tahun (B-16).

Turut berlangsung di Dreux ialah pertandingan NXL Eropah 2024 yang terbahagi kepada tujuh divisyen dengan lebih 50 pasukan berentap.