PENYERANG Manchester United, Mason Greenwood menyertai kelab Ligue 1 Perancis, Olympique de Marseille dengan perjanjian lima tahun, kata kelab itu.
Media Britain melaporkan produk akademi United yang berusia 22 tahun itu akan menelan belanja kelab Ligue 1 itu sehingga 31.6 juta euro.
Greenwood membuat 129 penampilan dan menjaringkan 35 gol untuk United selepas membuat penampilan sulung pada 2019.
Greenwood menghabiskan musim lalu secara pinjaman bersama Getafe di Sepanyol apabila United mahu mengelak dia menjadi gangguan walaupun semua pertuduhan jenayah terhadapnya digugurkan.
Pemain sayap itu menjaringkan 10 gol dalam 36 penampilan dalam semua pertandingan bersama Getafe, yang menduduki tempat ke-12 dalam LaLiga.
Presiden Getafe, Angel Torres menyatakan pada Mei hasratnya untuk mengekalkan Greenwood untuk satu musim lagi, manakala presiden LaLiga Javier Tebas berharap penyerang itu akan melanjutkan tempohnya di Sepanyol.
Dalam pada itu, Joey Barton antara yang menyokong langkah penghijrahan Greenwood berkata, pemain remaja tersebut berhak mendapat peluang untuk meneruskan kerjayanya
"Kita semua melakukan kesilapan. Tiada sesiapa yang sempurna. England akan memenangi Euro dengan Greenwood di sebelah.
"Dia pemain yang bagus seperti mana-mana yang terdapat dalam skuad Euro. Saya berharap Mason dan keluarganya mendapat ketenangan di selatan Perancis. Dan semoga dia mendapat peluang menebus kesilapannya," ujar Barton, yang menghabiskan semusim.