Speaker Dewan Rakyat perlu jaga integriti Parlimen - Muda

Iklan
Muda mendesak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menjaga integriti Parlimen.

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendesak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menjaga integriti Parlimen.

Ia susulan keputusan pengosongan kerusi enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah beralih sokongan kepada Perdana Menteri.

Iklan
Iklan

Muda dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu amat membimbangkan dan berpotensi membuka ruang kepada ahli politik mengkhianati mandat rakyat demi kepentingan peribadi.

Menurutnya, Speaker perlu bertindak secara bebas dan tidak memihak kepada sesiapa walaupun berada dalam komponen parti yang sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

"Kita perlu memastikan kestabilan politik dan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi Malaysia terus dilakukan dengan baik.

"Beliau perlu menghormati undang-undang dan kehendak rakyat serta memastikan demokrasi di Malaysia terus kukuh,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, Johari telah membuat keputusan menolak permohonan supaya mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu.

Beliau berkata, tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas ahli parti berkenaan.

Mengulas lanjut, menurut Muda, hanya mahkamah yang mempunyai kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, perkara tersebut bukan sahaja membuka pintu untuk mengingkari keputusan parti tetapi melemahkan Akta Anti Lompat Parti.

Muda turut mendakwa, Speaker Dewan Rakyat takut untuk mengumumkan kekosongan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu kerana kekalahan Kerajaan Perpaduan sewaktu pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap.

"Ramai Ahli Parlimen Pembangkang dengan tepat menunjukkan bahawa Speaker telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam membuat keputusan ini.

"Kenapa takut untuk mengumumkan kerusi kosong? Adakah disebabkan kekalahan teruk di PRK Sungai Bakap? Bukankah kita patut memartabatkan Akta Anti Lompat Parti supaya tiada agenda politik peribadi?

"Akta Anti Lompat Parti telah digubal di Parlimen pada tahun 2022, dengan tujuan untuk mengekang aktiviti lompat parti yang mengkhianati mandat rakyat,” katanya.