SHAH ALAM – Tindakan mahkamah menanti penyewa premis Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang masih berdegil melanggar perjanjian sewaan termasuk menjadikan premis itu sebagai stor.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan mahkamah berkenaan dibuat bagi mendapatkan perintah pengosongan dan pengeluaran saman terhadap penyewa terbabit.
"Cukup tiga bulan notis (pengosongan) keluar, tindakan mahkamah menyusul,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Asyraf Wajdi sebelum ini dilaporkan berkata, notis pengosongan dua bulan akan diberi kepada mana-mana pihak yang bertindak menjadikan premis Mara sebagai stor atau tidak dibuka seperti dalam perjanjian.
Menurutnya, ia merupakan salah satu langkah drastik menerusi Program Transformasi Premis Komersial Mara bagi memastikan premis berkenaan terus berfungsi membantu usahawan bumiputera menjana pendapatan.
Sebanyak 7,289 premis komersial milik Mara akan berwajah baharu menerusi program transformasi tersebut.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan, tindakan mahkamah tersebut akan diambil kerana beliau mahu berlaku adil kepada ramai pemohon daripada kalangan usahawan bumiputera yang tulen dan benar-benar mahu berniaga di premis Mara tetapi dinafikan hak.
Beliau berkata, ia disebabkan perangai segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas sewaan amat murah dikenakan Mara.
"Tiga bulan lepas saya sudah bagi amaran bahawa saya sudah arahkan kepada pengurusan supaya keluarkan notis kepada semua penyewa-penyewa yang didapati melanggar syarat perjanjian termasuk tidak membuka kedai yang disewa, menjadikan premis sebagai stor dan lain-lain.
"Alhamdulillah nampak ada perubahan drastik. Masalahnya ada ramai juga yang degil dan tidak mengendahkan notis itu. Justeru Mara tiada pilihan untuk mengambil tindakan mahkamah bagi mendapatkan perintah pengosongan dan saman,” ujarnya.