SHAH ALAM - Malaysia dan Filipina akan mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian dari aspek perdagangan, teknikal, sub-sektor tanaman, ternakan dan perikanan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, data perdagangan bagi tahun 2023 merekodkan nilai eksport dari Malaysia ke Filipina adalah sebanyak RM5.41 bilion.
Menurutnya, nilai itu lebih tinggi berbanding nilai import dari Filipina ke Malaysia iaitu RM1.28 bilion.
"Pada tahun 2023 Malaysia merekodkan nilai import sebanyak RM5.41 bilion ke Filipina dan seterusnya menyumbang kepada imbangan perdagangan positif kepada negara,” katanya pada Jumaat.
Turut hadir Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu; Duta Besar Republik Filipina, Maria Angela Abrera Ponce; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Azah Hanim Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Nor Sam Alwi dan pegawai-pegawai KPKM serta jabatan dan agensi di bawah KPKM.
Mengulas lanjut, menurut KPKM, Mohamad turut menjemput Angela bagi pihak Republik Filipina untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 dijadualkan pada 11 hingga 22 September 2024.
Sementara itu, Angela berkata, Filipina akan terus memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pertanian terutama dalam aspek keterjaminan makanan.
Tambah beliau, Malaysia ialah rakan dagangan terbesar mereka dan negara serantau Asia Tenggara.
"Malaysia merupakan rakan dagang terbesar bagi sektor pertanian di Rantau ASEAN, dan Filipina akan terus mengukuhkan kerjasama pertanian terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan dengan Malaysia,” katanya.