SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menafikan kenyataan kononnya lima individu yang baru kembali dari Wuhan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana disyaki dijangkiti koronavirus.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, sehingga 26 Januari 2020, tiada sebarang kes yang disyaki mengalami jangkitan koronavirus yang dimasukkan ke mana-mana hospital di negeri Terengganu.
Iklan
Iklan
"Kami meminta semua lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Nor Azimi mengulas kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original) oleh individu menggunakan nama"Ali Dapicey" yang kononnya lima individu baru kembali dari Wuhan telah dimasukkan ke HSNZ, Kuala Terengganu kerana disyaki dijangkiti koronavirus.
Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, secara umumnya, bagi mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.
Beliau menyarankan orang ramai kerap mencuci tangan, mengamalkan etika batuk yang betul dan mengelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai serta bergaul rapat dengan mana-mana individu disyaki mempunyai gejala virus berkenaan.
Artikel Berkaitan