KOTA KINABALU - Jenazah Mohd Rais Sarkhanuddin Zainordin, 23, yang berada di Korea Selatan dijangka tiba di Kota Kinabalu pada Ahad ini.
Perkara itu disahkan bapa saudaranya, Zaidi Mejin, 38, yang menguruskan jenazah itu di negara tersebut sejak Mohd Rais meninggal dunia pada Ahad lalu.
"Sekarang jenazah berada di pusat penyimpanan di sini, sementara menunggu penerbangan balik ke Malaysia.
"Saya baru terima maklumat dan pengesahan daripada pihak kedutaan pagi tadi bahawa penerbangan untuk membawa balik jenazah pada jam 11 pagi esok dari Incheon, kemudian akan transit di Kuala Lumpur sebelum diterbangkan ke Kota Kinabalu jam 8.05 pagi Ahad dan dijangka tiba pada jam 10.40 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Zaidi berkata, dia bersyukur kerana pengurusan membawa pulang jenazah ahli keluarganya itu dipermudahkan.
"Malah ini mungkin pengurusan paling cepat yang dilakukan di Korea Selatan.
"Alhamdulillah, penghantaran jenazah pulang ke Sabah hampir selesai di sini dan saya bersama ahli keluarga arwah yang lain ikhlas membantu termasuk sepupu arwah yang kini sedang menunggu jenazah di Kota Kinabalu," katanya.
Sehubungan itu, Zaidi turut menepis pelbagai dakwaan yang mengatakan dia mengambil untung mengenai pengurusan jenazah yang dilakukan.
"Bagi saya, ini adalah salah satu fardu kifayah sebagai seorang Islam malah saudara kepada arwah," katanya.