KUALA TERENGGANU - Sebanyak 14 video daripada akaun TikTok Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa dipadam tanpa menerima sebarang notis.
Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Razab berkata, kebanyakan video yang mendapat tontonan tinggi menerusi platform media sosial terbabit disedari diturunkan sejak Januari lalu.
"Video pertama yang dipadam daripada akaun media sosial Menteri Besar Terengganu ialah video temuramah bersama Aunty Amy Chua yang disedari tiada dalam platform TikTok sejak 20 Januari lalu.
"Selepas itu, satu demi satu video mula dipadamkan tanpa sebarang amaran atau notis. Video terkini dipadamkan ialah video yang dimuat naik menerusi platform X pada 12 Julai lalu mengenai perasmian Taman Solar Terbesar di Malaysia," katanya pada Jumaat.
Menurutnya, kesemua video yang dipadam itu tidak mengandungi sebarang unsur berkaitan agama, bangsa dan raja (3R) yang boleh dianggap sensitif atau mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Sebaliknya, kandungan video tersebut bertujuan menyampaikan mesej pembangunan dan perpaduan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu demi kesejahteraan rakyat.
Selain itu, katanya, ia juga bertujuan menyampaikan mesej pembangunan dan perpaduan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri serta mengukuhkan ikatan dalam kalangan masyarakat.
"Pemadaman video-video ini bukan sahaja tidak berasas tetapi turut mencerminkan tindakan yang mengabaikan prinsip kebebasan bersuara yang diiktiraf," tambah beliau.
Menurut Mohd Nasir, pihaknya telah mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu.
Katanya, keputusan memadamkan hantaran tersebut perlu diteliti semula agar kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberi peluang untuk terus dikongsi bersama masyarakat.
"Kita telah membuat laporan dalam pautan yang disediakan TikTok dan menghantar surat rasmi kepada TikTok Singapura pada 2 Julai lalu.
"Kita juga telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam (Khamis) bagi memohon penjelasan segera daripada platform berkenaan," ujarnya.