MEMASUKI minggu kedua Muharam 1446 Hijrah, ternyata masjid dan surau serta organisasi lain masih menyambut kedatangan bulan mulia itu.
Lihatlah di mana-mana pun terpampang poster dan kain rentang termasuk di media sosial mempromosikan sambutan Awal Muharam atau Maal Hijrah itu dengan pelbagai program diadakan.
Sinar Islam Plus turut tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan sambutan tahun baharu Islam itu apabila menganjurkan program Jaulah Mahabbah dengan kerjasama Masjid Abdul Rahman Bin Auf.
Forum Maal Hijrah yang diadakan di masjid berkenaan di Jalan Puchong, Kuala Lumpur itu mendapat sambutan baik penduduk setempat dan sekitarnya dengan kehadiran kira-kira 250 jemaah pada malam itu.
Program menjemput dua ahli panel terkenal iaitu pendakwah, Ustaz Haslin Baharim dan selebriti serta pendakwah, Adam Corrie Lee dan dihoskan oleh Azman Mohd Nawi.
Dalam perkongsiannya, Ustaz Haslin terlebih dahulu menjelaskan Muharam merupakan antara empat bulan haram atau bulan yang dihormati dalam Islam sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-36 surah at-Taubah:
"Sesungguhnya jumlah bulan di sisi ALLAH ialah 12 bulan (sebagaimana) dalam ketentuan ALLAH pada waktu DIA menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah (ketentuan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalamnya (keempat-empat bulan itu).”
"Sangat eloklah bulan Muharam disebut sebagai bulan haram dan bulan hijrah memandangkan pada ketika itu kita telah pun melaksanakan ibadah haji, selain ibadah korban.
"Semua ibadah itu membuatkan kita bersih bagai baru dilahirkan,” ulasnya.
Hijrah setiap hari, bukan setahun sekali
Tambahnya, banyak definisi diberikan kepada perkataan hijrah itu dan antaranya ialah berubah menjadi lebih baik, bertaubat, muhasabah diri, jihad dan pembaharuan niat.
Beliau turut berkongsi satu hadis Rasulullah SAW, Baginda bersabda: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh ALLAH." (Hadis Riwayat Abu Daud).
"Kita kena faham dan hadam konsep hijrah ini bukanlah setahun sekali, bahkan hijrah ini wajib dilakukan setiap hari.
Mengulas lanjut mengenai hijrah, umat Islam wajib melakukan hijrah setiap hari dan bersiap sedia berjuang untuk menjadi yang terbaik kerana musuh tidak pernah berhenti untuk menjatuhkan kita.
"Hijrah umat Islam tidak akan terhenti dan terhapus sehinggalah ruang taubat itu sendiri terhenti apabila terbitnya matahari pada Barat iaitu tibanya hari kiamat,” ulasnya panjang.
Menurut Ustaz Haslin, empat hijrah yang perlu dilakukan umat Islam setiap hari dan sepanjang tahun ialah:
1 - Hijrah tempat
Hijrah tempat atau hijrah makani bermaksud berhijrah ke suatu tempat untuk mengubah diri menjadi lebih baik seperti yang dilakukan kebanyakan kita yang tinggal di kampung berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki halal.
2 - Hijrah sikap
3 - Hijrah perbuatan
Hijrah perbuatan atau amaliyyah bermaksud meninggalkan perbuatan maksiat dan tidak berfaedah. Contoh mudah adalah pergaulan dalam rumah tangga, suami berbuat baik terhadap isteri dan sebaliknya seperti mana hadis Rasulullah SAW:
"Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
4 - Hijrah ekonomi atau pendapatan
Hijrah ekonomi atau iqtisodiyyah bermaksud mengubah ekonomi diri dan keluarga ke arah lebih baik.
Hijrah diri sendiri terlebih dahulu
Ustaz Haslin menjelaskan, ALLAH SWT bukan melihat kepada kejayaan sesuatu hijrah yang dilakukan kita, sebaliknya DIA melihat kepada niat dan azam serta usaha yang dilaksanakan.
Beliau merujuk kepada hadis Rasulullah SAW iaitu: "Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niatkan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
"Hijrah perlu dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu. Perkara lain usah dikhuatiri kerana apabila diri kita masing-masing telah berubah, perkara lain bahkan negara pun akan berubah kemudiannya,” jelasnya.