Mayat terbakar: Tiga lelaki didakwa bunuh rakan

Iklan
Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada Jumaat atas pertuduhan membunuh rakan mereka yang ditemukan dalam keadaan terbakar di kawasan semak samun berhampiran Empangan Semenyih, Selangor bulan lepas. Foto Bernama

KAJANG - Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh rakan mereka yang ditemukan dalam keadaan terbakar di kawasan semak samun berhampiran Empangan Semenyih, Selangor bulan lepas.

Pekerja bengkel, Zulkarnain Md Ariffin, 44; pekerja syarikat elektrik, Muhamad Iqbal Zainal, 30, dan pekerja syarikat elektrik, Syed Fikri Barakbah Syed Mohd Bakri, 28, didakwa membunuh Mohamed Afiq Hamdan, 28, di kawasan rumah di Jalan Hulu Langat, Selangor antara jam 3 pagi hingga 5 pagi pada 22 Jun lepas.

Iklan
Iklan

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Foto Bernama

Ketiga-tiga tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz.

Iklan

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Nurul Hafzan menetapkan 23 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Iklan

Semalam, Bernama melaporkan tiga lelaki ditahan pada 11 Julai lepas kerana disyaki membunuh rakan mereka setelah mangsa gagal melunaskan hutang berjumlah RM7,000.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan kes berkenaan dilakukan berikutan laporan penemuan mayat dalam keadaan terbakar di kawasan semak samun berhampiran Empangan Semenyih, Selangor pada 23 Jun lepas. - Bernama