Lompat parti: ADUN Rembia berdepan tindakan UMNO, kerajaan Melaka

Iklan
Ab Rauf (empat dari kanan) ketika sidang akhbar di sebuah hotel di ibu negara pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO sedang meneliti tindakan yang bakal dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis berikutan keputusannya menyertai Pas.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tindakan akan diambil dari dua sudut berbeza iaitu melalui perlembagaan UMNO dan kerajaan negeri sebagai ADUN Melaka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, apa yang pasti ADUN Rembia itu perlu menanggung kos dan ganti rugi berdasarkan ‘aku janji’ semasa bersetuju untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 yang lalu.

"Muhamad Jailani perlu menanggung segala kos ganti rugi yang diberikan kepada calon atas nama parti dengan jumlah kos yang diambil kira munasabah.

Iklan

"Apapun, saya akan mengusulkan perkara ini kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk memberi keputusan dan tindakan susulan,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di ibu negara pada Jumaat.

Pengerusi BN Melaka itu walau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah amaun ganti rugi berkenaan.

Iklan

"Kerajaan Negeri Melaka juga akan mengkaji kenyataan dibuat oleh ADUN Rembia itu termasuk dakwaan beliau sudah mengisytiharkan dirinya menyertai parti Pas pada Jun tahun lalu.

"Ini termasuklah melakukan semakan sama ada tindakan Muhamad Jailani menyertai parti Pas terkait dengan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan pada Persidangan DUN Melaka pada 31 Julai tahun lalu,” jelasnya.

"Saya serahkan Speaker DUN Negeri, saya tak boleh isytiharkan kosong, kita akan tengok enakmen kerajaan negeri selepas Speaker terima surat daripada YB (Yang Berhormat), lepas itu kita akan bincang di peringkat negeri.

"Kami belum terima surat dari Datuk Jai secara rasmi yang menyatakan beliau telah memilih Pas, daripada situ baru kita buat tindakan susulan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan Muhamad Jailani bahawa dirinya digantung tidak bertali oleh UMNO, Ab Rauf berkata, sepatutnya ADUN Rembia itu harus memperbaiki kesilapan atau kesalahan menyebabkan dia digantung keahlian.

"Jadi kalau cakap macam itu saya tak setujulah, seolah kita ‘bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak. Jadi kalau kita bersikap tidak sealiran dengan parti, maka parti juga berhak untuk menjalankan tugas sebagai pentadbir dengan tidak lagi memberikan kemudahan sebagai wakil rakyat berlandaskan kepada jambatan aku janji tadi,” katanya.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.

Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.

UMNO tahun lalu menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.