'Saya tak faham apa nak ditakutkan' - Ahmad Samsuri

Iklan
Ahmad Samsuri (empat dari kiri) bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman (lima dari kiri) ketika meninjau kerja-kerja membaiki kediaman penduduk yang rosak di Kampung Seberang Marang pada Jumaat.

MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluahkan rasa hairan berhubung tindakan platform media sosial memadam hantaran video daripada akaun miliknya.

Jelas beliau, lebih menghairankan ialah video berkenaan tidak mengandungi unsur-unsur yang dilihat boleh mengancam kedudukan mana-mana ahli politik di negara ini.

Iklan
Iklan

"Saya sendiri rasa pelik dan ramai dalam kalangan pengikut akaun saya menyatakan perkara sama iaitu mereka turut berasa pelik.

"Saya tak faham apa yang nak ditakutkan dengan (video) motivasi kepada pemain bola sepak dan kunjungan duta dari luar negara. Semuanya bukan berkaitan dengan politik," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kediaman mangsa ribut di Kampung Seberang Marang, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa.

"Ia bukan hanya dilaporkan dalam media bahasa Melayu atau Inggeris, media berbahasa Mandarin juga keluar cerita mengenai ini. Ia menunjukkan keprihatinan masyarakat bahawa perkara seperti ini tidak boleh didiamkan.

Iklan

"Hari ini mungkin terkena pada saya, mungkin esok kena pada orang lain. Saya rasa semua pihak perlu sama-sama menegur supaya jangan jadi seperti ini lagi kerana ia tidak membantu negara kita untuk maju ke hadapan," ujarnya.

Beliau berkata, tindakan lanjut berhubung perkara itu telah diambil dan pihaknya juga telah menghantar surat bagi memohon penjelasan daripada platform berkenaan.

"Surat kita dah hantar termasuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kita masih menunggu jawapan daripada mereka," ujarnya.

Sebelum ini, sebanyak 14 video daripada akaun media sosial TikTok Ahmad Samsuri didakwa dipadam tanpa sebarang notis termasuk hantaran terbaharu menerusi platform X yang dipadam pada 12 Julai lalu.