PRK Nenggiri: Bersatu letak calon muda, boleh menang

Iklan

TANAH MERAH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan sedia meletakkan calon muda dan boleh menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, nama individu yang akan diumumkan sebagai calon itu bakal dikemukakan dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Ketika ini kita sedang menunggu keputusan dari pucuk pimpinan tertinggi," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa merasmikan Larian Jambatan Guilimart di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, DUN Nenggiri merupakan kerusi bagi Bersatu dan parti tersebut akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK nanti.

Iklan

Ujarnya, soal kerusi tersebut tidak berbangkit kerana perkara itu telah dipersetujui oleh kedua-dua parti sebelum ini.

Kamarudin memberitahu, sebelum ini Bersatu Kelantan sudah menghantar lebih tiga nama untuk ditapis oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Iklan

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semasa sidang akhbar di Bangunan UMNO Kelantan pada Khamis.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.