PN ada formula sendiri tentukan calon PRK Nenggiri

Iklan
Ahmad Samsuri (kanan) ketika meninjau kejadian ribut yang melanda kawasan rekreasi di Pantai Pulau Kekabu, Marang pada Jumaat.

MARANG - Perikatan Nasional (PN) mempunyai formula tersendiri dalam menentukan calon yang akan diketengahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan mengenai calon pada pilihan raya itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan gabungan parti politik tersebut.

Iklan
Iklan

"Apa dia nak sibuk-sibuk, ikut kitalah nak letak siapa calon, atas kitalah. Kita nak letak orang mana, siapa, umur berapa, kerja apa.

"Itu atas kita berdasarkan kepada pertimbangan kita untuk memperoleh kemenangan (serta) mengekalkan kemenangan di DUN Nenggiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat bencana ribut di Kampung Pantai Seberang Marang di sini, pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan UMNO mencabar Pas meletakkan calon sendiri dan tidak memberikan peluang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya tersebut.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, PN dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu beberapa hari sebelum penamaan calon pada 3 Ogos depan.

Iklan

Katanya, setakat ini, gabungan itu tidak membuat keputusan untuk mengumumkan calon lebih awal seperti dilakukan UMNO.

"Jentera kita sudah turun ke DUN Nenggiri sebaik sahaja berlaku kekosongan itu dengan melakukan pelbagai aktiviti dan tinjauan.

"Hasil daripada dapatan-dapatan yang kita buat itu dan ditambah dengan momentum daripada (PRK) Sungai Bakap, Insya-ALLAH, kita boleh mengekalkan kemenangan,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilaporkan berkata Pas dicabar meletakkan calon sendiri dan tidak memberi peluang kepada Bersatu bagi mengelak berlaku peralihan sokongan seperti yang terjadi sebelum ini.

PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kekosongan kerusi pada 19 Jun lalu.

Ia berikutan Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian BERSATU apabila menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos depan.