KUALA LUMPUR - Penganjuran Acara Siri Antarabangsa Asia's Kids Star dapat memperkukuh hubungan persahabatan dua negara antara China dan Malaysia.
Pengerusi Asia's Kids Star, Dr Mazlan Ahmad berkata, penganjuran kali ini menggabungkan elemen teknologi dan budaya sempena Minggu Teknologi dan Kebudayaan Global.
Menurutnya, pertandingam ini menjadi platform kanak-kanak menonjolkan bakat mereka di bawah projek Asia's Kids Star yang menyambut ulang tahun kelima, tahun ini.
" Dalam perjalanan pembangunan selama lima tahun ini, kami telah mendapat sokongan daripada kerajaan, syarikat dan institusi dari China dan Malaysia," katanya pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Pertandingan Robot Dunia 2024 untuk Kejohanan Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen HGH di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu beliau berkata, penganjuran Pertandingan Robot Dunia 2024 untuk Kejohanan Malaysia telah memaparkan pencapaian cemerlang dalam bidang teknologi antara dua negara.
"Pelajar dari dua negara telah menunjukkan bakat dalam pertandingan ini.
"Melalui persaingan kekuatan teknologi dan pertukaran pengalaman, mereka bukan sahaja meningkatkan keupayaan mereka tetapi juga meningkatkan pemahaman serta pengiktirafan terhadap budaya masing-masing," ujarnya.
Pada majlis itu, para tetamu dipertontonkan dengan seni budaya China dan Malaysia antaranya persembahan alat muzik Kong Hou daripada lima pemain muzik dari China.
Ia merupakan alat muzik kuno berasal dari zaman musim bunga dan luruh yang juga dikenali sebagai 'Harpa Timur' dan terkenal dengan keunikan bunyinya.