Usaha keras cari matlamat hidup bawa Adam Corrie kepada Islam

Iklan
ADAM CORRIE LEE

SETIAP orang diberi pilihan untuk menjalani kehidupan yang diingini masing-masing. Dalam memilih jalan tersebut, kita semua tidak akan lari daripada fitrah iaitu kehidupan beragama.

Begitu juga yang dialami selebriti dan pendakwah, Adam Corrie Lee Abdullah ketika berkongsi pengalamannya sebelum memeluk Islam pada program Jaulah Mahabbah Sinar Islam Plus dengan kerjasama Masjid Abdul Rahman Bin Auf di Jalan Puchong, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurut Adam, dia terlebih dahulu berhijrah atau berpindah ke Kuala Lumpur dari kampungnya di Taiping, Perak dengan tujuan mencari kerja.

ADAM CORRIE (kanan) bersama Ustaz Haslin (kiri) dan hos, Azman Mohd Nawi pada program Jaulah Mahabbah Sinar Islam Plus dengan kerjasama Masjid Abdul Rahman Bin Auf di masjid berkenaan baru-baru ini.

Iklan

"Sebelum saya memeluk Islam, setiap jam 7 pagi saya disuruh oleh emak dan ayah untuk ‘bakar colok’. Saya lakukannya setiap hari namun saya tidak tahu apa maksud di sebalik perbuatan itu.

"Soalan itu sering bermain-main di dalam kepala namun masih tiada jawapannya pada ketika itu,” ceritanya.

Iklan

Berdoa diberikan petunjuk

Jelasnya, dia kemudian terdetik di hati ingin mengetahui mengenai agama Islam dan sering berdoa agar ditunjukkan jalan yang benar.

"Selepas pulang dari kerja, saya sering mendengar azan Subuh dan kadangkala saya ikut sama azan.

"Bagaimanapun, ketika saya mahu berdoa, rakan-rakan yang beragama Islam melarang saya berdoa disebabkan saya bukan beragama Islam.

"Kata mereka, kau bukan Islam, mana boleh berdoa? Lagilah saya pening, fikir cara bagaimana nak tahu lebih pasal Islam ini,” katanya.

Hidup Adam Corrie berubah selepas dibawa berjumpa dengan seorang ustaz pada 2007 di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur untuk mengetahui Islam dengan lebih mendalam.

Katanya, jika di hati ada sedikit niat untuk mendalami Islam, pasti ALLAH SWT akan menghantar seseorang yang boleh membimbing ke arah itu.

Cabaran selepas memeluk Islam

Mengulas lanjut mengenai penghijrahannya untuk memeluk Islam, selebriti yang masyhur dengan lakonan gengster itu menjelaskan ia perkara yang sangat mencabar dalam hidupnya.

PARA JEMAAH khusyuk mendengar perkongsian yang disampaikan oleh Adam Corrie dan Ustaz Haslin.

"Selepas saya mengumumkan kepada orang ramai saya memeluk Islam, terus tiada ‘job’. Selama setahun saya menganggur tiada pendapatan. Ketika itu saya cuma fikir anak dan isteri sahaja.

"Bagaimanapun saya terus bersabar dan akhirnya saya tidak kisah apa yang orang nak kata. Apa yang penting saya tetap dengan Islam. Isteri sering menyokong dan berada di sisi saya,” ujarnya.

Istiqamah bukan jalan mudah

Menjawab persoalan bagaimana terus kekal menjadi Muslim yang baik walaupun dikecam, Adam menjelaskan, jalan istiqamah bukanlah perkara yang mudah.

"Macam-macam orang kata kepada saya dari dulu sampai sekarang. Ada yang kata saya nak jadi ustaz pula selepas tiada tawaran berlakon.

"Saya buat ini bukan hendak riak tapi saya mencari bekalan sebanyak mungkin untuk diri dan keluarga. Saya nak bawa anak-anak dan isteri ke syurga, itu sahaja,” jelasnya.

MUSLIMAT juga turut serta dalam menimbal ilmu daripada Ustaz Haslin dan Adam Corrie dalam program Jaulah Mahabbah Sinar Islam Plus.

Ceritanya lagi, sepanjang 17 tahun di dalam agama Islam, kira-kira 30 orang menerima hidayah ALLAH dan agama Islam selepas dia menyampaikan dakwah kepada mereka.

"Pedulikan apa orang nak kata. Apa yang penting kita sebagai umat Islam melaksanakan ajaran agama dengan sebaiknya dan tidak lupa berdakwah."Teruskan berdoa, berusaha, istiqamah dan tawakal kepada ALLAH,” katanya.