TANJUNG MALIM - Operasi pencarian bahan bukti bagi kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah ditangguhkan akibat air Sungai Trolak di Kampung Batu 4, Slim River dekat sini deras selain keruh dipercayai ekoran hujan awal pagi tadi.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, paras air sungai di lokasi terbabit juga naik melebihi satu meter.
"Setelah mengambil kira keadaan dan struktur sungai yang mempunyai sisa kayu serta paras air yang tidak menentu, tidak selamat untuk pasukan penyelam meneruskan operasi pencarian,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan mengikut keperluan dan situasi semasa.
Tinjauan Bernama mendapati dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa kira-kira 10 anggota dan pegawai dari Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi pencarian pada 11.10 pagi.
Selepas pasukan membuat penelitian yang mengambil masa kira-kira sejam didapati air sungai berkenaan keruh, deras dan paras air pada ketinggian 2.9 meter dari jambatan kecil sehingga ke permukaan air, berbanding sebelum ini 3.9 meter.
Sungai Trolak terletak kira-kira 20 minit dari ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor yang menjadi kawasan pencarian bahan bukti sebelum ini.
Pencarian bahan bukti di sebuah parit di ladang kelapa sawit itu sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini, manakala beg tangan mangsa ditemukan di sungai berkenaan.
Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira 6 petang pada Isnin, selepas bekas penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) itu dilaporkan hilang sejak 10 Julai.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan petang semalam di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang. - Bernama