Pindaan RUU Akta Penagih Dadah 1983 permudah khidmat rawatan sukarela

Iklan
Shobah (duduk dua dari kiri) bersama pengurusan kanan AADK dan MAIS pada majlis MoU di Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM - Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 membantu mempermudahkan proses khidmat rawatan dan pemulihan penagih dadah secara sukarela di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Shobah Jamil berkata, langkah itu berupaya memperluaskan usaha pemulihan individu yang mempunyai permasalahan dadah.

Iklan
Iklan

"Mereka akan mendapat perkhidmatan lebih cepat tanpa perlu melalui karenah birokrasi yang menjadi halangan dalam usaha merawat pulih penagih," katanya ketika ditemui pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Jumaat.

MOU tersebut telah ditandatangani oleh Shobah dengan Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar sambil disaksikan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Norraini Nordin dan Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan.

Iklan

Dalam pada itu, Shobah berkata, intipati pindaan Akta 283 itu antaranya memberi peluang dan galakan kepada golongan itu untuk hadir mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Beliau berkata, akta baharu itu turut memberi nafas baharu bagi kaedah pengurusan pusat pemulihan dan klien dalam komuniti.

Iklan

"Ia antaranya menerusi penyediaan perkhidmatan yang lebih bersesuaian dan bersifat kemanusiaan.

"Pelaksanaan kaedah itu akan memberi lebih banyak peluang kepada klien untuk bersama masyarakat dan mengurangkan stigma sekali gus membantu proses pemulihan," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Shahir berkata, pusat pemulihan yang beroperasi di Serendah, Hulu Selangor itu menawarkan perkhidmatan pemulihan, rawatan serta perlindungan bagi penagih dadah yang hidup dengan HIV/AIDS.

Menurutnya, pusat itu mula beroperasi pada Januari 2018 dan sehingga Julai lalu, seramai 26 orang pelatih telah dirawat di sana.

"Pada tahun ini, MAIS memperuntukkan bajet pengoperasian menggunakan dana zakat asnaf riqab sebanyak RM1.6 juta.

"Ia merangkumi bayaran emolumen pengurusan pentadbiran dan pengurusan operasi Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS & AADK," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, MAIS berharap melalui MoU tersebut dapat melancarkan pengurusan dan operasi di Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS & AADK.

Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan RUU berkenaan secara majoriti apabila Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terlibat dalam sesi perbahasan selepas dibentangkan bagi bacaan kedua pada 9 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, kelulusan itu mampu memartabatkan peranan pegawai pemulihan AADK tanpa mengenepikan tanggungjawab pegawai perubatan.