GOPENG - Seorang remaja maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang lampu isyarat di Kilometer 16.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran lampu isyarat Pusat Latihan Kemas di sini pagi tadi.
Mangsa, Hooi Wei En, 19, beralamat di Jalan Kinta Baru, Taman Kinta Baru, Gopeng disahkan maut di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian berlaku awal pagi tadi apabila kereta Proton Persona yang dipandu mangsa seorang diri disyaki terbabas melanggar tiang lampu isyarat.
"Kita terima maklumat mengenai kejadian pada jam 4.45 pagi. Tiba di lokasi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng membantu mengeluarkan mangsa.
"Pegawai perubatan dari Hospital Kampar mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam jam 4.39 pagi.
"Sepasukan anggota kemudiannya dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa," kata kenyataan itu.