PASIR PUTEH - Penganjuran karnival kokurikulum menjadi platfom terbaik dalam mencungkil potensi pelajar.
Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, pada masa sama ia boleh digilap seterusnya diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Insya-ALLAH dengan kesungguhan ini, mungkin suatu hari nanti kita dapat melihat lebih ramai jaguh kokurikulum dilahirkan," katanya semasa merasmikan Karnival Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2 di sini pada Jumaat.
Hadir sama ialah Guru Besar, Noor Azizah Harun dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Wan Azmi Wan Mohamad.
Menurut beliau, golongan ibu bapa diharap dapat memberikan sokongan dengan berpandukan kepada kecenderungan akedemik anak-anak.
Ujarnya, sungguh pun begitu para pelajar diingatkan supaya tidak mengabaikan pelajaran.
Muhammad Nasir memberitahu, keseimbangan antara akademik dan kokurikulum mampu menjadikan generasi akan datang lebih berdaya saing.
"Kalau mereka minat sukan, jangan halang (sukan), tapi dengan akademik mesti diutamakan. Kita tengok zaman sekarang, orang bersukan pun kaya.
"Lihat sahaja, pemain tenis dunia, badminton, bola sepak dan sebagainya boleh kaya melalui sukan. Namun harus ingat sukan ada had umur.
"Bila pencen sukan, tak ada kelulusan akademik hendak bekerja pun payah," katanya.