Penggantungan Wan Ahmad Fayhsal wajar - Angkatan Muda Harapan

Iklan
Reaksi Wan Ahmad Fayhsal ketika mendengar usul tentang penggantungan beliau daripada sidang Parlimen selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 1 Julai lalu di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan hukuman yang wajar berikutan tindakan tidak profesional dan melanggar etika Parlimen, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan.

Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen Machang itu juga boleh dianggap menghina Parlimen yang dinaungi oleh Majlis Raja-raja Melayu selain mewujudkan penghinaan terhadap penjawat awam.

Iklan
Iklan

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya bersikap matang dan berintegriti dengan mendapatkan sumber sahih dan bukan bersandarkan surat layang dalam perbahasan Parlimen serta menamakan penjawat awam yang kononnya 'dalang' mengancam kedaulatan negara.

"Hakikatnya, beliau tidak dapat membuktikan kesahihan maklumat yang dinyatakan dalam surat layang itu yang jelas fitnah dan adu domba untuk memburukkan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan Wan Ahmad Fayhsal digantung susulan tindakan Ahli Parlimen Machang itu membangkitkan isu sepucuk surat layang di Dewan Rakyat, kononnya dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu dibuat selepas usul menggantung Wan Ahmad Fayhsal daripada Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan mendapat sokongan 110 ahli Parlimen, manakala 63 tidak bersetuju menerusi undi belah bahagian, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Iklan

Ammar berkata, ini juga bukan kali pertama Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) melanggar etika Parlimen.

Pada Februari lepas, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan hampir digantung selama enam bulan akibat memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai korup dan salah guna kuasa tanpa bukti.

Namun, Wan Saiful mengemukakan permohonan maaf atas tindakan berkenaan dan berikutan itu usul untuk menggantungnya ditarik balik.

"Justeru, Angkatan Muda Harapan menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu untuk menjalankan program khas bagi mendidik barisan ahli Parlimennya agar lebih berintegriti dan tidak memfitnah sewaktu berbahas di Dewan Rakyat. Cukup-cukuplah menabur fitnah,” kata Ammar. - Bernama