[VIDEO] 'Qunut Nazilah doa kehancuran seteru politik amalan ekstremis'

Iklan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan bacaan Qunut Nazilah untuk mendoakan kehancuran seteru politik sebagai amalan ekstremis dan pelampau.

Tegas beliau, tindakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang membacakan doa tersebut di dalam Dewan Rakyat selepas penggantungan enam bulan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal harus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan.

Iklan
Iklan

"Qunut Nazilah tidak seharusnya digunakan untuk mendoakan kehancuran seteru politik sesama Islam apa lagi di Malaysia.

"Jadi saya sebagai Menteri Dalam Negeri ingin mengingatkan bahawa, sebarang bentuk amalan ekstremis dan pelampau seperti ini perlu ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan serta kedamaian," katanya menerusi sidang akhbar di KDN, pada Jumaat.

Iklan

"Saya juga katakan bahawa menggunakan Qunut Nazilah untuk mohon kehancuran terhadap lawan politik dalam kalangan umat Islam adalah tindakan yang melampaui batas dan bertentangan dengan prinsip Islam sebenar," ujar beliau.

Pada Khamis, Dewan Rakyat kecoh selama kira-kira setengah jam ketika usul agar Wan Ahmad Fayshal digantung susulan mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Iklan

Seramai ahli Parlimen 110 bersetuju dengan usul berkenaan, manakala 63 lagi tidak bersetuju, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Saifuddin (kanan) pada sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat.

Sejurus selepas keputusan dibacakan, ahli Parlimen Pembangkang membacakan doa Qunut Nazilah yang diketuai oleh Zulkifli.

Ditanya sama ada sejauh mana pihak kerajaan merasakan tindakan membaca doa itu ditujukan kepada mereka, Saifuddin kemudiannya merujuk bahawa insiden itu berlaku di Dewan Rakyat.

"Di mana insiden itu berlaku semalam? Di Parlimen. Jadi ia ditujukan kepada Israel? Di Gaza atau apa?

"Perbuatan membaca Qunut Nazilah sejurus selepas keputusan Parlimen kerana tidak bersetuju dengan tindakan menggantung seorang ahli Parlimen yang ada sebab musababnya melalui proses Parlimen.

"Saya kata ini adalah contoh amalan politik melampau, perbezaan politik terus dijadikan asas untuk memohon kehancuran. Ini bukan amalan Islam.

"Jadi, sejauh mana kerajaan anggap ini sebagai ditujukan kepada kerajaan, situasi semalam dan kondisi, jawapan telah jelas,” katanya.