FILEM terbitan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital dan TGV Pictures, The Experts terus melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menembusi pasaran di Kemboja.
Filem lokal bertemakan rompakan itu ditayangkan di 18 daripada 25 pawagam dalam versi bahasa Kemboja agar dapat menarik minat warga di sana untuk menonton filem tempatan ini dan berkongsi pengalaman mereka pula.
Penerbit Eksekutif The Experts yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menonton The Experts di pawagam sebelum ini.
"Kami telah bekerjasama dengan pengedar konten terbesar Kemboja iaitu Westec Media Limited (WML) untuk mempersembahkan The Experts di negara tersebut, serta telah melakukan alih suara bagi menarik penonton di sana," katanya dalam satu kenyataan.
Bukan itu sahaja, filem yang menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Remy Ishak, Mimi Lana, Maya Karin, Tony Eusof dan Ray Dapdap itu turut ditayangkan di platform Astro First pada bulan Ogos depan.
Semua penonton Malaysia boleh menikmati filem aksi penuh debaran ini menerusi Astro saluran 480 atau On Demand dan Astro GO dan juga peranti pilihan anda melalui, Sooka.
The Experts menyaksikan sebuah keluarga iaitu lima adik beradik yang telah lama meninggalkan kegiatan merompak, kembali berkumpul kerana satu ugutan. Mereka mendapat arahan daripada gangster paling merbahaya untuk melakukan satu lagi rompakan terbesar berisiko tinggi.
Dalam pada itu, mereka masih dibayangi dendam lama daripada tragedi keluarga serta sejarah kejahatan lampau. Bagaimana mereka harus berdepan musuh dan melindungi keluarga? Adakah misi rompakan ini akan menjadi kali terakhir untuk lima adik beradik ini bersama?