PELBAGAI reaksi daripada orang ramai berkaitan dengan kes pembunuhan seorang gadis, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor petang Isnin lalu.
Sebagai respon kepada pelbagai reaksi orang ramai itu, pendakwah, Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi tampil memberi teguran kepada warga siber yang menuduh arwah dengan tuduhan yang jahat seperti sudah mengandung dan sebagainya.
"Bila kita baca berbagai-bagai komen daripada para netizen, ada yang menyatakan kesedihan, ada yang menyatakan kemarahan dan sebagainya.
"Saya nak ambil peluang untuk menasihati diri sendiri dan kita semua dalam nak respon. Islam ada batas-batasnya, sebab dalam Islam menuduh seseorang berzina ada hukumannya kalau tidak punya bukti dan empat orang saksi yang adil iaitu qazaf,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan melalui TikTok miliknya pada Khamis.
Tambah Ustaz Jafri, tuduhan tersebut mungkin boleh terlepas di dunia namun pelaku yang menuduh demikian tidak akan terlepas di akhirat.
"Ada juga tuduhan-tuduhan lain seperti tidak menjaga ikhtilat (pergaulan) dan beginilah keadaannya kalau bercinta dengan suami orang.
Ustaz Jafri berharap agar kita semua mengambil pengajaran yang baik dan menjaga mulut-mulut daripada menuduh orang lain melakukan sesuatu yang mungkar.
"Takut-takut kita bercakap perkara yang kita tidak tahu yang akan menyebabkan kesusahan kepada kita nanti di akhirat,” tegurnya.
Tuduhan zina antara dosa besar
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, qazaf bermaksud tuduhan berzina pada tempat celaan dan mengaibkan.
"Sebahagian ulama mendefinisikan qazaf sebagai menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab.
"Di dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji menyebut, haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara Islamnya dengan tuduhan melakukan perbuatan yang keji sama ada tuduhannya itu benar atau pun dusta dari pihak dirinya.
"Dalam keadaan dusta, sesungguhnya hal tersebut adalah suatu fitnah dan kezaliman dan pendustaan merupakan antara perkara haram yang paling keji. Jika dalam keadaan tuduhan itu benar, seseorang itu membuka perkara yang tersembunyi serta mencemarkan maruah. Oleh yang demikian, syarak menganggap perbuatan qazaf termasuk antara dosa-dosa besar,” hurainya.
Menurutnya, perbuatan qazaf merupakan antara jenayah yang dikenakan hukuman hudud ke atasnya iaitu pelakunya disebat sebanyak 80 kali sebatan dan gugur penyaksiannya.
"Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyebut pensyariatan hudud qazaf adalah bagi memelihara masyarakat Islam daripada terjebak ke lembah kehinaan akibat dari tuduh-menuduh dalam soal kelucahan dan begitu mudah mengungkapkannya.
"Bayangkan tanpa hukuman qazaf, sudah barang tentu dengan sewenang-wenangnya seseorang boleh menuduh seseorang yang lain sehingga mengaibkan maruah dan menjatuhkannya.
"Isu seperti ini amat sukar untuk dibuktikan atau disanggah oleh orang yang kena tuduh. Justeru, pada peringkat awal lagi mereka diberi peringatan supaya tidak bermudah-mudahan dalam menuduh seseorang,” jelasnya.