KOTA BHARU - Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) terpaksa mengecilkan operasi bilik bersalin buat sementara waktu ekoran berlakunya kebocoran saluran paip pada Khamis.
Pengarahnya, Datuk Dr Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, sehubungan itu, pesakit yang dijangka bersalin pada waktu terdekat dinasihatkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) atau mana-mana fasiliti bersalin yang berhampiran.
"Untuk makluman semua, kejadian kebocoran saluran air telah berlaku di beberapa bahagian melibatkan Bilik Bersalin Hospital USM pada malam Khamis.
"Langkah-langkah segera telah diambil oleh pihak pengurusan serta Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti USM bagi memastikan operasi di bilik tersebut tidak terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum itu tular di TikTok sebuah video berdurasi 17 saat memaparkan keadaan di bilik bersalin Hospital USM yang digenangi air dikatakan berpunca daripada kebocoran saluran air.
Menurut Dr Nik Hisamuddin, walau bagaimanapun, proses pembaikan dan penyelenggaraan lanjut perlu melibatkan pengecilan operasi bilik bersalin buat sementara waktu.
Ujarnya, Hospital USM juga pada masa yang sama akan mengatur supaya kes-kes kecemasan untuk bersalin termasuk menerusi pembedahan caesarean dapat terus dilaksanakan termasuk menempatkan pegawai perubatan serta petugas kesihatan di Jabatan Kecemasan.
Tambah beliau, pengecilan operasi ini adalah bersifat sementara dan operasi penuh seperti biasa akan diteruskan apabila pembaikan serta penyelenggaraan selesai.