Piala FA: Jaringan dramatik JDT jinakkan KDA FC 2-1

Iklan
Arif Aiman (tengah) diasak dua pemain KDA FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. FOTO Johor Southers Tigers

Romel Romales muncul wira JDT apabila menjaringkan gol pada minit ke-98 untuk meletakkan kembali pelawat di hadapan 1-2 dan keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya bangkit secara dramatik untuk menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Pada perlawanan tersebut, JDT yang merupakan juara bertahan terlebih dahulu berada di hadapan 1-0 pada minit ke-23 jaringan Oscar Arribas yang berjaya memanfaatkan hantaran Heberty.

Iklan
Iklan

Pelawat kemudiannya berjaya menjarakkan kedudukan kepada 0-2 hasil jaringan Bergson Da Silva namun jaringan tersebut tidak dibenarkan selepas berada di dalam kedudukan offside pada minit ke-31.

Menuju ke penghujung separuh masa pertama, ketua pasukan JDT, Arif Aiman Hanapi membuatkan lebih 20,000 penyokong tuan rumah tergamam seketika apabila percubaannya melepasi penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al Hafiz namun mujur bola tersebut sekadar singgah di tiang gol sahaja.

Iklan

Pada separuh masa kedua, KDA FC cuba meningkatkan momentum serangan dengan membawa masuk beberapa pemain baharu seperti Ebenezer Assifuah, Faiz Nasir dan Fayadh Zulkifli bagi memburu gol penyamaan.

Walau bagaimanapun benteng pelawat yang diperkukuhkan oleh pemain seperti Jordi Amat, Feroz Baharudin dan Shahrul Saad berjaya membaca dan mematahkan setiap serangan yang dilakukan oleh Sang Kenari.

Iklan

Asakan bertali arus oleh tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila pemain tengah KDA FC, Habib Haroon menolak masuk bola ke dalam gawang JDT pada minit ke-87 untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Gol tersebut berpunca daripada bola yang ditepis oleh Syihan Hazmi yang terlebih dahulu mengagalkan percubaan Assifuah yang menanduk hantaran hasil sepakan percuma Sony Norde.

Namun menuju penghujung perlawanan, Romel Romales muncul wira JDT apabila menjaringkan gol pada minit ke-98 untuk meletakkan kembali pelawat di hadapan 2-1 dan keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.

Kedua-dua pasukan akan bertemu kembali pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 4 Ogos depan.