Bomba sukarela terus diperkukuh

Iklan
Pasukan bomba sukarela sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat dan kesungguhan tersebut mendapat pengiktirafan daripada barisan kepimpinan tertinggi JBPM. Foto: JBPM.

SHAH ALAM - Keupayaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dalam memberi bantuan awal membantu mengurangkan kadar kemusnahan dan kerugian.

Untuk info, sebanyak 367 PBS telah ditubuhkan di beberapa daerah terutama di kawasan yang berada jauh dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, beliau menyatakan komitmen penuh jabatan untuk memperkasakan PBS yang ada di negara ini.

Datuk Nor Hisham Mohammad

Katanya, JBPM menyasarkan untuk menambah jumlah pasukan sukarelawan itu kepada 374 buah menjelang penghujung tahun ini.

Iklan

"Terdapat tiga negeri mempunyai paling ramai keahlian bomba sukarela setakat tahun lalu.

"Di Perak, terdapat 1,178 orang ahli, diikuti Sarawak (1,155) dan Pulau Pinang (897).

Iklan

"JBPM akan terus berusaha memperkasakan pasukan sukarelawan ini dari semasa ke semasa kerana pasukan bomba sukarela dilihat sangat banyak membantu JBPM memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Aksi sekumpulan anggota pasukan bomba sukarela ketika memadam kebakaran di kawasan kejiranan.

Nor Hisham memberitahu, pelbagai usaha dan bantuan disediakan JBPM kepada PBS bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, bukan sahaja latihan berterusan diberikan, malah keperluan seperti topi, baju, peruntukan serta khemah untuk command post disediakan kepada mereka.

Beliau memberitahu, JBPM juga memperjuangkan tuntutan PBS yang memerlukan jentera-jentera lebih baik bagi urusan penyelamatan.

"Kita menyediakan 50 buah jentera kepada pasukan tersebut bagi memantapkan lagi kecekapan penugasan anggota sukarelawan semasa kejadian kecemasan.

"Jabatan juga merancang untuk menyerahkan sebanyak 10 buah jentera kepada PBS tahun ini, manakala 20 buah masing-masing pada 2025 dan 2026,” ujarnya.

Beliau berkata, terdapat PBS yang mempunyai sistem pengurusan baik dan berjaya membabitkan penglibatan masyarakat setempat yang mana kejayaan itu dicapai menerusi sokongan penuh daripada individu berkemampuan menerusi tajaannya.

Kata Nor Hisham, contoh terbaik berjaya ditunjukkan oleh penduduk di Tanjung Sepat, Sepang, Selangor apabila PBS di situ mempunyai balai sendiri hasil sumbangan orang ramai.

"Ia merupakan sebuah balai bomba empat tingkat yang bernilai RM1 juta,” katanya.

Keupayaan pasukan bomba sukarela memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat mendapat pengiktirafan barisan kepimpinan tertinggi JBPM.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, JBPM juga giat mengukuhkan keupayaan bomba komuniti yang merupakan first responder sekiranya berlaku kecemasan di sesebuah komuniti.

"Untuk rekod, sehingga ini terdapat sebanyak 3,324 pasukan bomba komuniti di seluruh negara.

"Penglibatan orang ramai dalam bomba komuniti adalah menggalakkan apabila sejumlah 46,732 keahlian dicapai pada masa ini,” ujar beliau.

TINGKAT KEUPAYAAN JBPM

Sementara itu, Nor Hisham berkata, bagi memantapkan lagi perkhidmatan JBPM kepada masyarakat, pihaknya melaksanakan sistem digitalisasi khidmat kebombaan menerusi integrasi serta aplikasi teknologi baharu berimpak tinggi.

Jelas beliau, usaha itu termasuk permodenan pusat kawalan Command, Control Communications, Computers and Intelligence (C4iFRDM).

Kursus dan program pasukan bomba sukarela bersama JBPM sering kali diadakan bagi meningkatkan keupayaan anggota sukarelawan.

Ditanya mengenai kekuatan yang ada pada JBPM pada masa ini, Nor Hisham berkata, jumlah keseluruhan perjawatan bagi skim bomba adalah sebanyak 14,749 perjawatan.

Daripada jumlah itu, kata beliau, jumlah pengisian yang dapat dipenuhi sebanyak 13,285, manakala 12,682 daripadanya merupakan jawatan operasi balai.

"Jumlah yang ada ini bagaimanapun masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah operasi dan panggilan kecemasan yang diterima daripada orang ramai,” ujar beliau.