JUARA 2000 dan 2011, Terengganu FC memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, bagi mengatasi Selangor FC, 3-2 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA pada Jumaat.
Angkatan Tomislav Steinbruckner finalis edisi 2022 yang masih segar dengan kemenangan agregat 7-0 ke atas Sabah terlebih dulu memimpin perlawanan dengan jaringan dua gol dijelmakan hasil sepakan percuma kapten pasukan Safawi Rashid minit ke-30 sebelum bintang import Nurillo Tukhtasinov menambah pada minit ke-35.
Anak buah Nidzam Jamil yang tampil di pentas empat terbaik dengan kemenangan penalti 5-3 ke atas Kuching City FC selepas terikat agregat 4-4, tidak goyang kembali merapatkan defisit menerusi Alvin Fortes minit ke-39 sebelum menutup separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, Selangor juara edisi 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009
tampil lebih kemas menerusi gol minit ke-48 cetusan Noor Al Rawabdeh bagi jaringan penyamaan yang menjadi dos penggalak kepada The Red Giants.
Bagaimanapun jaringan minit ke-70 cetusan Ismahil Akinade membolehkan bekalan satu gol mengiringi skuad Penyu menjelang timbal kedua berdepan Red Giants naib juara edisi 2018 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 3 Ogos depan.
PIALA FA
Separuh Akhir Pertama
Keputusan
Kedah Darul Aman FC 1-2 Johor Darul Ta'zim
Terengganu FC 3-2 Selangor FC