KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi meneruskan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Sultan Ibrahim yang mengenakan persalinan rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai Muskat dan Raja Zarith Sofiah anggun dalam persalinan Kurung Johor berwarna keemasan menarik perhatian seluruh jemputan ketika pasangan diraja itu melangkah untuk bersemayam di atas Singgahsana.
Alunan tiupan nafiri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat Kumpulan Nobat Diraja Perak yang memainkan lagu 'Raja Berangkat' bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja itu dalam istiadat penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.
Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini kemudian memohon perkenan Seri Paduka Baginda bagi memulakan istiadat pertabalan di Balairung Seri itu.
Istiadat pertabalan dihadiri 700 tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan komuniti diplomatik asing serta pemimpin-pemimpin utama negara itu turut disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen negara termasuk Bernama TV.
Sultan Ibrahim yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari.
Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024. - Bernama