PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain melihat pasukannya seharusnya meraih keputusan positif pada separuh akhir pertama Piala FA 2024-2025 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Jumaat malam.
Menurutnya, berdasarkan persembahan cemerlang Sang Kenari, skuad itu seharusnya berjaya meraih keputusan sekurang-kurangnya seri dan bukannya tewas tipis 1-2 kepada juara bertahan tersebut di Stadium Darul Aman.
"Walaupun tewas dan kecewa, saya rasa kita tak patut kalah sekurang-kurangnya dan boleh raih keputusan seri. Kita kena teliti dan cari semangat balik. Kita kena bawa semangat itu ke perlawanan seterusnya.
"Kita bermula baik dan beberapa gerakan ada peluang untuk kita buat jaringan, mungkin keghairahan pemain membuatkan mereka agak gopoh sedikit, itulah yang membezakan kita dan JDT," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Aman, di sini.
Jelas Nafuzi, kejayaan menjaringkan satu gol dan memberikan tekanan kepada lawan dilihat mampu meningkatkan keyakinan pemainnya bagi menghadapi aksi timbal balik di laman lawan.
Menurutnya, semangat yang diraih tersebut perlu dibawa pada aksi separuh akhir kedua dan memberikan segala-galanya pada 4 Ogos depan.
"Apabila bertemu JDT, untuk menjaringkan gol tu bukan senang, untuk mencari kemenangan bukan mudah.
"Bagi saya lebih baik kita seri dari kita tewas, tapi kita kena jaringan 2-1, itu kita terima," ujarnya.
Oscar Arribas dan jaringan lewat Romel Morales membantu JDT mencatat kemenangan di Alor Setar manakala gol tunggal Kedah diperoleh menerusi Habib Haroon.