KPN beri amaran kepada pembuli siber

Iklan
Razarudin Husain

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kejadian buli siber melibatkan pengguna media sosial atau 'netizen' yang membuat sesuatu komen secara melampau.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perbuatan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan termasuk menyebabkan berlakunya tekanan fikiran dan mengancam keselamatan individu lain.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kesan daripada tindakan mengeluarkan sebarang spekulasi atau komen secara melampau adalah sangat bahaya.

"Adalah menjadi satu kesalahan jenayah terhadap mana-mana pihak yang didapati membuat hantaran serta spekulasi berkaitan sesuatu isu sehingga berlakunya fitnah, ugutan atau buli siber meskipun dibuat secara dalam talian.

Iklan

"Individu terbabit boleh diambil tindakan mengikut undang-undang dikuatkuasa antaranya bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan, Seksyen 500 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM)," katanya pada Sabtu.

Mengambil contoh kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, beliau berkata, banyak spekulasi timbul di media sosial apabila ada pihak yang menghina, mengutuk serta mencaci mangsa dan suspek itu sendiri.

Iklan

Tegas beliau, tindakan seumpama itu secara tidak langsung boleh menganggu emosi dan memberi tekanan kepada ahli keluarga pihak terlibat.

"Perkara seumpama inilah yang dikatakan sebagai buli siber. Isu ini adalah serius.

"Saya memberi amaran kepada masyarakat terutama pengguna media sosial agar tidak mengeluarkan komen tidak benar dan membuat sebarang spekulasi," ujarnya.

Menurut Razarudin, pihaknya memandang serius terhadap kepenggunaan media sosial secara melampau hingga menimbulkan fitnah terhadap pihak lain.

Justeru itu katanya, mana individu-individu yang merasakan dibuli di media sosial diminta melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Kita tidak mahu berlakunya kejadian buli siber sehingga menyebabkan kematian sepertimana yang menimpa pada pempengaruh Tiktok, Esha," katanya.

Menurut beliau, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sentiasa bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Komunikasi dalam meneliti dan mengkaji langkah-langkah serta tindakan lebih tegas dalam memerangi perbuatan buli siber.

Katanya, PDRM dan Kementerian Komunikasi sudah membentuk satu jawatankuasa yang diberi tanggungjawab meneliti aspek perundangan yang bakal dicadangkan pada masa akan datang.

Beliau juga menyeru orang ramai memberi ruang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan dalam sesuatu kes.

"Jangan menyebarkan sesuatu perkara yang tidak pasti kesahihannya sehingga boleh menimbul fitnah dan mengganggu siasatan pihak berkuasa," tegasnya.